Tuesday 16 April 2013

kaedah rawatan skizofrenia



Skizofrenia biasanya dirawat dengan menggunakan ubat anti-psikotik, terapi sokongan dan psikopendidikan. Antara pendekatannya ialah:

        Pendekatan biologi

Pendekatan ini merujuk pada pengambilan ubat antipsikotok yang dimulakan pada tahun 1950-an. Biasanya dadah digunakan sebagai ubat antipsikotik seperti thorazine, melaril, stelazine dan prolixin yang pada umumnya menghasilkan kesan yang sama. Ubat ini akan mengurangkan aktiviti reseptor dopamine otak yang akan dapat mengurangkan halusinasi dan delusi pesakit tetapi tidak dapat menyembuhkan penyakit ini. Menjelang tahun  2000 terdapat lebih banyak ubat antipsikotik yang dihasilkan seperti clozapine, risperidone dan olanzapine tetapi tetap mempunyai kesan yang sama iaitu hanya mencegah pesakit daripada mengalami gangguan yang lebih teruk dan mengurangkan tekanan yang dialami serta mengurangkan episod psikotik pesakit (Azizi Yahaya et. al 2006: 198).

            Dalam sebuah majalah Dewan Masyarakat, Nur Faizah Abdul Wahab menulis mengenai skizofrenia yang bertajuk Skizofrenia: Pesakit berada dalam dunia fantasi, beliau menulis dalam tahun 1952, sejenis ubat yang digunakan untuk pesakit psikosis iaitu pesakit yang mengalami masalah mental digunakan bagi merawat pesakit skizofrenia. Ubat ini amat berkesan. Dengan teknik imej otak yang moden (scan PET), rawatan boleh digunakan dengan lebih baik lagi. Biasanya, pesakit mengalami kesukaran menyelaraskan aktiviti antara kawasan berbeza di otak. Contohnya semasa berfikir atau bercakap, kebanyakan orang menunjukkan pertambahan aktiviti di bahagian hadapan otak dan kurang aktiviti di kawasan otak yang berfungsi untuk pendengaran. 


                                    

            "Dalam filem A Beautiful Mind, Dr Rosen memberitahu Alicia bahawa Nash mempunyai skizofrenia dan Charles, Marcee dan Parcher hanya wujud dalam imaginasi beliau. Nash diberi kursus terapi kejutan insulin (insulin shock therapy) dan akhirnya dibebaskan. Beliau juga diberi ubat antipsikotik namun beliau kecewa dengan kesan-kesan sampingan ubat antipsikotik yang beliau ambil, maka Nash secara diam-diam berhenti mengambilnya. Ini menyebabkan halusinasi dan khayalan beliau kembali semula".

            Dalam rawatan terapi insulin telah diperkenalkan oleh Sakel di Vienna pada tahun 1930-an dan berguna dalam menangani skizofrenia secara empirikal. Terapi insulin diberikan dalam dos yang kecil kepada pesakit, cukup untuk menyebabkan sedikit pening dan berpeluh. Pesakit masih sedar dan fasa rawatan ditamatkan dengan minuman glukosa (Alexander R.K. Mitchell 1972: 122-123).  Oleh sebab itu, dalam filem tersebut Nash diberikan rawatan terapi kejutan insulin. Prosedur ini menggerakkan glukosa ke dalam otot badan supaya pesakit yang berasa lebih baik dan dalam semangat yang lebih baik (Alexander R.K. Mitchell 1972: 123).


     Kaedah Sosiobudaya

Dalam kaedah ini kumpulan etnik masyarakat memainkan peranan yang penting bagi membantu keluarga yang mengalami skizofrenia. Ini kerana keadaan pesakit skizofrenia berbeza-beza di setiap tempat sama ada di Asia mahupun di Eropah. Oleh itu, kaedah rawatan ini lebih menekankan nilai moral dalam masyarakat seperti keluarga memberikan sokongan yang sewajarnya kepada pesakit ini dan menyediakan tempat kerja yang sesuai bagi mengembalikan hubungan pesakit dengan komuniti masyarakat (Azizi Yahaya et.al 2006: 198). 

            "Sebagai contoh dalam filem, Alicia sangat mengambil berat akan masalah Nash. Alicia membantu dengan menyiasat lelaki bernama Parcher yang memperkenalkan dirinya sebagai ejen Jabatan Pertahanan yang meminta Nash untuk memecah kod-kod rahsia untuk kerajaan. Alicia mendapati Pacher hanyalah lelaki khayalan Nash dan tidak wujud. Selain itu, kawan lamanya Martin Hansen yang dulu dianggap musuh, seorang ketua jabatan matematik Universiti Princeton juga menolong Nash dengan memberi kebenaran kepadanya untuk bekerja di luar kelas di perpustakaan. Tahun berlalu dan Nash semakin sedar bahawa beliau perlu belajar untuk mengabaikan halusinasinya. Akhirnya dia mendapat keistimewaan untuk mengajar lagi".
      

  Terapi Psikodinamik


Kaedah psikodinamik menekankan pesakit yang menghadapi masalah dalam membebaskan diri mereka daripada kekecewaan yang dialami sejak dahulu.  Antara kekecewaan yang dialami ini adalah hasil daripada salah interaksi antara struktur id, ego dan superego. Ini semua akan menimbulkan kebimbangan yang sukar dikesan. Oleh itu, dalam sesi terapi ini, teknik perkaitan bebas (free association) digunakan di mana pesakit diminta mengeluarkan segala yang terpendam dalam fikiran, perasaan dan hatinya. Mereka tidak dibenarkan menyekat atau menahan apa-apa perasaan, fikiran, rasa hati, masalah atau fantasi ataupu yang tidak munasabah daripada pakar terapi. Tujuannya supaya semua konflik yang dialami secara sedar dan tidak sedar dibawa keluar kea lam sedar dan dikenali serta difahami oleh pesakit. Kini kaedah terapi individu banyak digunakan dan terbukti dapat mengurangkan gangguan dan membantu pesakit membina kemahiran sosial seperti bagaimana hendak berhadapan dengan kritikan orang lain (Azizi Yahaya et.al 2006: 199). 

            "Dalam filem tersebut, Dr. Rosen memberikan nasihat dan kaunseling kepada Nash. Ini kerana, Nash telah cuba untuk membunuh bayinya sendiri atas hasutan Parcher. Rawatan kaunseling boleh membantu pesakit memahami keadaan diri dan perasaannya dengan lebih mendalam dan rawatan ini diberikan secara pesakit luar". 


      Pendekatan Asas Pendidikan

Ahli terapi tingkah laku berpendapat, kegagalan atau kesalahan individu dalam pembelajaran menyebabkannya mengalami skizofrenia. Kaedah pembelajaran yang intensif dapat mengubah perkembangan tingkah laku dan membantu pesakit berhubung dengan masyarakat secara berkesan. Pendekatan ini menetapkan tiga langkah utama iaitu:
  1. Menetapkan pembelajaran tingkah laku pesakit seperti diingini oleh masyarakat.
  2. Memberikannya ganjaran ekonomi seperti jika pesakit melakukan sesuatu perbuatan yang betul dia akan diberikan ganjaran seperti makanan, minuman dan sebagainya.
  3. Latihan kemahiran sosial seperti menjadi jurulatih, juruhias, mengamalkan tingkah laku harian yang umum dan melakukan proses mengingat kembali (Azizi Yahaya et.al 2006: 199). Dalam filem tersebut rawatan ini tidak diterapkan dalam kehidupan Nash.

     Pemulihan Psikososial

Kaedah pemulihan ini dikaitkan dengan penyertaan pesakit dalam institusi sosial yang dibuat khusus bagi merawat pesakit psikotik. Contohnya, Kelab Fountain House yang sehingga kini mempunyai lebih 200 rangkaian di seluruh dunia termasuk di Sweden, Jepun, Australia dan terdapat dengan banyak di negara-negara lain serata dunia. Institusi ini ditubuhkan bagi mendapatkan tempat kembali dalam masyarakat bagi para pesakit psikotik. Pesakit akan diajar mengawal emosi dan keupayaan fizikal bagi mencapai cita-cita mereka. Mereka akan diberi sokongan, keperluan dan perhatian supaya dapat berdikari.
          
  Selain itu, pesakit akan diajar menguruskan pelbagai keperluan harian seperti pengurusan wang, mengatasi perbezaan pendapat dalam keluarga, menjalinkan hubungan persahabatan, menaiki bas, memasak makanan sendiri, berbelanja dan sebagainya. Pesakit dibenarkan tinggal selama 6 bulan dan maksimum 2 tahun dalam institusi ini dengan perkhidmatan yang lengkap meliputi kemudahan rawatan, tempat tinggal dan makanan, pembelajaran, suasana yang aman, keselamatan dan pelbagai kemudahan asas yang lain. Kaedah ini terbukti Berjaya merawat pesakit psikotik dan jumlah kelab yang seumpama ini banyak ditubuhkan di seluruh negara (Azizi Yahaya et.al 2006: 200).  Kaedah ini juga tidak ada dalam fiilem tersebut.
      
 
   Program Pemulihan Keluarga Secara Intensif

Pendekatan ini menekankan peranan keluarga dalam menangani masalah pesakit dengan cuba berkongsi masalah dengan pesakit, memberi tumpuan kepada aktiviti kehidupan seharian berkeluarga, member pendidikan kepada ahli keluarga yang mempunyai masalah psikotik, mengajar bagaimana berhubung dengan pesakit psikotik, cuba untuk menyelesaikan masalah pesakit dan kemahiran menguruskan masalah keluarga dan mengelakkan daripada berselisih faham dengan pesakit. Kaedah ini didapati berjaya untuk memberikan sokongan kepada pesakit dan dapat mengelakkan pesakit menarik diri daripada aktiviti sosial (Azizi Yahaya et.al 2006:  200-201).
        
    "Dalam filem tersebut Dr. Rosen banyak membantu Alicia dalam menanggani peyakit yang dihidapi oleh Nash. Selain itu juga, Alicia seorang isteri yang tabah dan banyak membantu Nash dan bersama-sama mengharungi kehidupan walaupun senang atau susah. Cuma, berlaku sedikit konflik bahawa Nash ingin membunuh anaknya sendiri dan setelah itu menolak Alicia semasa Alicia cuba untuk menelefon pihak hospital. Sokongan moral daripada isterinya adalah salah satu faktor Nash berjaya mengawal penyakitnya". 

"Kesimpulannya, dalam filem tersebut Nash berjaya menghalang halusinasinya iaitu 3 orang yang wujud di dunia khayalan bermula dari kawan biliknya Charles, Marcee, dan Parcher. Beliau memberitahu Alicia, " She never gets old ", merujuk ke Marcee, yang walaupun bertahun telah berlalu sejak pertemuan pertama mereka, namun Marcee kekal pada umur yang sama dan masih seorang gadis kecil. Dengan ini, beliau akhirnya menerima bahawa walaupun ketiga-tiga orang seolah-olah nyata, mereka berada dalam sebahagian hakikat halusinasi beliau. Atas nasihat Dr Rosen, Nash memutuskan tidak memakan semula ubat dan mempercayai bahawa dia boleh mengatasi dengan gejala itu dalam cara yang lain. Alicia memutuskan untuk tinggal dan menyokong beliau dalam hal ini. Faktor penting sebenarnya dalam rawatan tersebut adalah diri Nash sendiri yang berusaha untuk menghalang halusinasinya itu dan akhirnya beliau berjaya walaupun ketiga-tiga individu tersebut masih berada di sekelilingnya sehingga beliau tua. Akhirnya, pada tahun 1994, Nash memenangi Nobel Memorial Prize in Economics untuk kerja-kerja revolusi beliau mengenai teori permainan. Filem ini berakhir sebagai Nash dan Alicia meninggalkan auditorium di Stockholm, Nash melihat Charles, Marcee, dan Parcher berdiri sebelah dan memerhatikannya".



PEMENANG hadiah nobel, John Nash pernah menghidap
skizofrenia selama tiga dekad

Ahli Kumpulan: 

Noorsima Binti Zainol
Siti Ilyana Binti Othman
Siti Zulaika Binti Pozi
Shariha Binti Shamsudin
Nur Azimah Binti Abd Aziz


RUJUKAN


Alexander R.K. Mitchell. 1972. Schizophrenia: The Meanings of Madness. New York:    
             Taplinger Publishing Co Inc.
Azizi Yahaya, Cathy Suhaila Abdullah, Roslee Ahmad, Sharifuddin Ismail. 2006. Punca dan    
             Rawatan Kecelaruan Tingkah Laku. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing  
             Sdn    Bhd.
Julianto Simanjuntak. 2008. Konseling Gangguan Jiwa. Jakarta: Penerbit PT Gramedia 
             Pustaka Utama.
Nur Faizah Abdul Wahab. Januari 2001. Skizofrenia: Pesakit berada dalam dunia fantasi
              Dewan Masyarakat jil 39. Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sheila L. Videbeck. 2001. Buku Ajar Keperawatan Jiwa. Jakarta: Penerbit Buku 
             Kedokteran EGC.
Singgih D. Gunarsa. 2004. Dari Anak Sampai Usia Lanjut. Jakarta: BPK Gunung Mulia.
Kosmo. 2008. 26 Mac.
Utusan Malaysia. 2009. 8 Jun.
Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah. Kasih sayang pulihkan skizofrenia
http://www.utusan.com.my (25/04/2010).
http://www.webmd.com/schizophrenia/guide/schizophrenia-symptoms-types