Monday 8 April 2013

falsafah minda


PYTHAGORAS



Pengenalan

Falsafah Pythagoras mempunyai kedudukan tersendiri dalam alam fikiran Yunani. Falsafahnya berdasarkan kepada pandangan agama dan fahaman keagamaan. Suatu tarekat, atau boleh juga disebut suatu aliran mistik.

Pythagoras of Samos adalah orang bijak Yunani awal dan inovator agama. Dia mengajarkan keabadian serta transmigrasi jiwa. Pythagoras mendirikan sebuah kumpulan agama. Kumpulan itu menjadi sebuat tarekat. Para pengikutnya, dikenali sebagai Pythagorean. Mereka itu diam dengan menyisihkan diri daripada masyarakat dan kehidupan mereka dipenuhi dengan amal ibadat sahaja. Menurut pelbagai keterangan, Pythagoras terpengaruh oleh aliran mistik yang berkembang pada waktu itu dalam alam Yunani, yang bernama Orfisisme.

Pythagoras mengajarkan keabadian dan transmigrasi jiwa (reincarnation) dan mencadangkan cara hidup yang mempunyai peraturan-peraturan, pantang makanan dan juga kod moral. Semua itu adalah jalan yang boleh dilakukan untuk menyucikan jiwa dan membawanya kepada keharmonian dengan alam semesta di sekitarnya. Dengan demikian jiwa akan menjadi dewa kerana menurut Pythagoras, beliau percaya bahawa segala struktur yang teratur, dan harmoni yang terdapat di alam semesta adalah ilahi.

  
Latar Belakang

Pythagoras berasal dari Samos. Ia dilahirkan kira-kira dalam tahun 580 sebelum Masihi. Menurut umurnya ia sebaya dengan Xenophane.  Menurut tradisi Yunani, ia sering bepindah (antara lain ke Mesir). Namun, mengenai hal ini belum ada kepastian. Kehidupan Pythagoras tidak terlepas daripada pengaruh politik. Kira-kira tahun 530 sebelum Masihi, ia berpindah ke Kota Kroton di India Selatan. Aristoxenos seorang murid Aristotle menyatakan bahawa Pythagoras berpindah kerana ia tidak setuju dengan pemerintahan diktator Polykrates.

Di dalam kota Kroton, Pythagoras mendirikan suatu tarekat beragama. Menurut suatu kesaksian tertentu, ia menetap di situ selama 20 tahun. Pada akhir hidupnya, Pythagoras bersama pengikut-pengikutnya berpindah ke kota Metapontion kerana alasan-alasan politik dan ia meninggal di sana (Bartens 1979: 33).


Keabadian Jiwa

Pythagoras percaya akan perpindahan jiwa dari makhluk yang sekarang kepada makhluk yang akan datang. Apabila seseorang meninggal, jiwanya kembali lagi ke dunia, masuk ke dalam badan salah satu haiwan. Menurut satu cerita, Pythagoras, pada suatu hari berjalan-jalan. Ia nampak orang memukul anjing, sehingga anjing itu menjerit-jerit. Lalu ia berkata, hai sanak jangan dipukul anjing itu, di dalamnya ada jiwa seorang sahabatku, terdengar olehku jeritannya” (Mohammad Hatta 1982: 23).

Menurut kepercayaan Pythagoras, manusia itu berasal daripada Tuhan. Jiwa itu adalah penjelmaan daripada Tuhan yang jatuh ke dunia kerana berdosa. Ia akan kembali ke langit ke dalam lingkungan Tuhan bermula, apabila sudah habis disuci dosanya itu. Hidup murni adalah jalan untuk menghapuskan dosanya itu. Walau bagaimanapun, kemurnian tidak tercapai sekaligus, melainkan beransur-ansur. Sebab itu jiwa itu berulang-ulang turun ke tubuh makhluk dahulu. Melalui cara itulah setingkat demi setingkat kemurniaan dicapai (Mohammad Hatta 1982: 24).

Jadi menurut Pythagoras, jiwa itu tidak dapat mati. Sesudah kematian manusia, jiwanya berpindah ke dalam jasad haiwan, dan apabila haiwan itu mati, jiwa itu akan berpindah ke dalam jasad yang lain pula. Jiwa akan terus berpindah sehinggalah jasad tersebut menyucikan dirinya. Penyucian boleh dilakukan dengan pelbagai cara antaranya ialah berpantang jenis makanan tertentu seperti daging haiwan dan kekacang. Bagi Pythagoras, peraturan-peraturan sedemikian adalah penting dalam kehidupannya (Bartens 1979: 35). Berlagu dengan muzik juga boleh dikatakan salah satu jalan untuk membersihkan roh dan muzik itu dimuliakan dalam kehidupan Pythagoras (Mohammad Hatta 1982: 24).

Selain itu, jiwa adalah ‘harmoni’ dari badan. Dalam hal ini Pythagoras menggunakan prinsip keharmonian dalam setiap barang. Ia mengibaratkan harmoni dari gitar yang tak mungkin lepas dari dawai-dawainya. Demikian juga jiwa tak mungkin lepas dari badan manusia. Jiwa ‘sudah’ ada ‘sebelum’ berada di badan. Jiwa itu ada tanpa permulaan. Jika demikian, adanya itu tidak tergantung dari badan.

Menurut pandangan ini jiwa tak mungkin lepas dari badan. Bererti di satu sisi sama saja kalau badan dan jiwa itu menyatu. Di sisi lain mungkin tidak, kerana jiwa ada sebelum ada di badan dan adanya jiwa tidak tergantung dari badan. Kalau jiwa dan badan menyatu maka dalam hal ini ada pertentangan. Ini bertentangan dengan teori yang mangatakan bahwa jiwa adalah tempat tinggal badan tetapi sama sekali tidak punya hubungan dengan badan.

Namun kehidupan manusia tidak cukup dengan hanya membersihkan jasmani sahaja. Pembersihan rohani juga perlu diberi perhatian. Manusia sentiasa berzikir untuk mencapai kesempurnaan hidupnya. Menurut keyakinan kaum Pythagoras, setiap orang harus bertanggungjawab tentang perbuatan yang dilakukannya pada setiap waktu. Sebelum tidur, hendaklah diperiksa di dalam hatinya segala perbuatannya pada hari tersebut. Manusia  seharusnya bertanya kepada diri sendiri: Apa kekuranganku hari ini? Larangan mana yang aku langgar? Periksa peristiwa yang berlaku sehabis-habisnya, jika ada berbuat salah maka hendaklah menyesal akan kesalahan yang telah dilakukan, jika tiada kesalahan maka hendaklah bergembira atas perbuatan tersebut (Mohammad Hatta 1982: 24).

Hidup di dunia ini menurut fahaman Pythagoras adalah persediaan buat akhirat nanti. Sebab itu semua yang dikerjakan adalah untuk hidup pada hari kemudian itu. Pythagoras memandang amal dengan ilmu sebagai jalan untuk menyucikan roh. Kesuciannya dan kejernihan roh yang sebesar-besarnya dicapai dengan menuntut ilmu. Hidup yang ditujukan kepada penyelidikan ilmu adalah hidup yang setinggi-tingginya dan persediaan untuk pulang kepada Tuhan (Mohammad Hatta 1982: 25).

Pengikut Pythagoras juga banyak mengikut ajaran penyucian roh dengan hidup secara bersahaja, berjalan dengan tidak beralas kaki, tidak makan daging, ikan dan kacang. Apabila berbuat demikian, mereka menyangka telah mengikuti ajaran guru mereka.


Kesimpulan

Pythagoras sangat menekankan pengajarannya tentang jiwa. Bahkan para muridnya juga mengamalkan ajaran tersebut dalam kehidupan mereka. Terdapat peraturan-peraturan mengenai pakaian dan pantang-larang yang mempunyai hubungan dengan ajaran Pythagoras mengenai perpindahan jiwa. Ajaran Pythagoras yang diterapkan kepada muridnya ini bukanlah sesuatu yang sempurna tanpa sebarang kesilapan. Terdapat beberapa perdebatan mengenai perkara tersebut. Mungkin masih ada lagi yang tidak boleh menjelaskan bagaimana posisi jiwa dan badan manusia saat itu sehingga teori Pythagoras ini berhenti di sini.

Timbul beberapa persoalan seperti:

“Apakah badan jiwa menyatu?”
“Apakah mereka berpisah?”

Hal ini belum dijelaskan dalam teori Pythagoras. Ringkasnya dapat disimpulkan bahawa teori ini belum sempurna. Apa yang dibicarakan dalam teori ini hanyalah idea awal. Idea ini mungkin akan dikembangkan dan sampai kepada penemuan mengenai posisi badan dan jiwa di dalam perbicaraan selanjutnya.

Teori Pythagoras ini masih bertentangan kerana beliau menyatakan bahawa badan adalah tempat tinggal jiwa namun tidak ada hubungan sama sekali dengan jiwa. Pythagoras juga menyetakan bahawa adanya jiwa tidak terikat dengan badan. Bagaimana mungkin kedua-duanya boleh terjadi seperti ini?

Belum ada penjelasan yang memuaskan mengenai hubungan atau kedudukan dari badan dan jiwa. Kedua-duanya tentu memiliki hubungan erat yakni badan adalah tempat tinggal jiwa, tetapi mengapa kedua-duanya tidak ada hubungan sama sekali? Oleh itu teori Pythagoras ini meninggalkan persoalan.


Rujukan:

1)Bartens. 1979. Sejarah Filsafat Yunani-dari Thales ke Aristoteles. Yogyakarta: Penerbitan Yayasan Kanisius.
2)Mohammad Hatta . 1982. Alam Fikiran Yunani. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.


No comments:

Post a Comment